Kanser hidung yang juga dikenali dengan nama tumor sinus paranasal merupakan sejenis kanser yang biasanya terjadi pada sel, tulang atau saraf yang terdapat pada kawasan hidung. Kanser hidung biasanya sukar dikesan akan kehadirannya sehinggalah ia tumbuh dan mula merebak, semakin awal ia dikesan dan dirawat, semakin besar kemungkinan ianya akan sembuh seperti sediakala.
Penyebab
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab kanser hidung, walaupun tidak ada bukti yang kukuh bahawa semuanya menyebabkan serangan namun kebanyakan daripada kajian mempercayai sekurang-kurangnya 50% daripada faktor dibawah adalah penyumbang kepada terjadinya kanser hidung, antaranya adalah:
- Pendedahan kepada bahan kimia industri secara berpanjangan
- Dijangkiti virus papillomavirus manusia (Human Papilloma Virus - HPV)
- Terdedah kepada habuk kayu, habuk kulit, tepung, habuk kain, nikel atau bau kromium.
- Pendedahan kepada radium
- Merokok
Gejala
Gejala awal kanser hidung adalah sama dengan gejala selsema, disebabkan hal ini ramai yang tidak mengesyaki bahawa mereka sudah terkena serangan kanser hidung, selain itu hidung tersumbat yang tidak pernah hilang, perubahan suara atau pernafasan, deria bau berkurang, kerap sakit kepala, rasa sakit tanpa sebarang sebab pada bahagian muka, telinga dan di dalam mulut, gigi menjadi longgar, merasa tekanan pada bahagian hidung, terdapat pertumbuhan pada lelangit, mata sentiada merah, berair dan membonjol, kehilangan atau perubahan penglihantan dan susah untuk membuka mulut.
USM temui keladi tikus ubat kanser, Utusan Malaysia 17/8/1998 Kredit Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang
Diagnosis
Doktor biasanya akan mengambil keterangan berkaitan sejarah kesihatan disamping sejarah keluarga seterusnya melakukan pemeriksaan fizikal yang merangkumi penglihatan, pendengaran, hidung, mulut, muka, leher, dan saluran tekak. Semua maklumat yang diperolehi akan digunakan bagi membantu didalam menentukan masalah yang dialami, ia meliputi perincian seperti tahap kesakitan, rasa terbakar dan dimana kesakitan itu berada. Doktor mungkin akan menjalankan proses endoskopi dengan memasukan tiub yang mempunyai kamera ke dalam hidung pesakit, kaedah ini akan memberikan gambaran yang jelas mengenai lokasi dan ukuran tumor yang terdapat di dalam kawasan hidung pesakit.
Selain daripada itu, doktor biasanya akan turut menjalankan ujian darah, ujian imbasan CT, sinar-X atau MRI sinus. Ujian biopsi juga akan dibuat di mana sampel tisu kecil akan diambil daripada dalam pangkal hidung dan akan diperiksa di makmal bagi memeriksa kehadiran tanda-tanda barah.
Pengkelasan tahap
Sebahagian daripada proses diagnosis disebut pengkelasan, ia biasanya digunakan bagi memberikan gambaran tahap kanser yang dialami oleh pesakit. Pengkelasan dapat membantu didalam memberikan rawatan yang terbaik untuk pesakit. Tahap pengkelasan bergantung kepada lokasi tumor berada, sejauh mana ianya sudah berkembang pada kawasan berdekatan, adakah ianya sudah merebak ke kelanjar atau bahagian yang lain di dalam badan dan beberapa faktor kesihatan yang lain. Peringkat pengkelasan bermula dari tahap 1 sehingga tahap 4. Tahap untuk kanser hidung adalah seperti berikut:
Tahap 1 - Terdapat tumor pada bahagian sinus (hidung) dan belum merebak.
Tahap 2 - Tumor telah merebak kepada bahagian lain di sekitar sinus.
Tahap 3 - Tumor telah berkembang dan merebak ke tulang hidung, soket mata dan mungkin telah merebak ke kelenjar bening.
Tahap 4 - Tumor telah merebak jauh ke dalam soket mata, otak, tulang tengkorak dan leher. Ianya juga mungkin telah tersebar lebih jauh ke organ yang lain dan mungkin mempunyai kuantiti yang tinggi di dalam kelenjar bening.
Secara umumnya, semakin awal barah itu dirawat, semakin tinggi peluang pesakit untuk sembuh. Kawal pemakanan dan amalkan ubat yang mengandungi khasiat anti kanser mampu meningkatkan lagi peluang untuk pesakit sembuh sepenuhnya daripada penyakit yang boleh membawa maut ini. Semakin lambat tindakan diambil akan menyebabkan semakin jauh sel kanser boleh merebak, dan apabila sudah mencapai tahap ini, sudah tidak banyak yang boleh diusahakan lagi.